Saturday, 25 October 2014

Karangan Autobiografi



Assalamualaikum

AKU SEBUAH KAMERA VIDEO DIGITAL




Aku sebuah kamera video digital berjenama popular, iaitu Nikon. Jenamaku ini memang sudah dikenali umum mengenai kualitinya yang tiada tandingan jika dibandingkan dengan kamera video digital jenama lain. Hal ini disebabkan aku diperbuat daripada bahan-bahan yang bermutu tinggi. Aku diperbuat daripada besi, plastik, getah, dan sebagainya. Kamera video digital sepertiku ini merupakan jenis yang terbaharu dan tercanggih. Aku dilahirkan di sebuah kilang di luar negara.  Saizku hanya kecil molek sahaja, iaitu hanya sebesar tapak tangan. Namun begitu, kecilku ini kecil-kecil cili padi.

Aku diberi nama COOLPIX S6900. Setelah lengkap semua anggota badanku dipasang, aku dibungkus di dalam plastik sebelum di masukkan ke dalam kotak khas.  Aku kemudiannya dieksport ke Malaysia menggunakan sebuah kapal laut yang besar. Sekarang, aku sudah menjadi warganegara Malaysia. Setibanya di Malaysia, aku dihantar ke sebuah kedai yang mengkhususkan penjualan produk elektronik dan IT yang terletak di Kuala Lumpur dengan menggunakan lori kecil. Kedai itu dikenali sebagai Low Yatt Plaza. Di sini, aku mendapat rakan-rakan baru. Aku dipamerkan di dalam rak kaca bersama-sama rakan-rakanku yang berjenama lain. Selama aku berada di sini, akulah yang selalu mendapat perhatian dan pujian orang ramai. Mereka kagum dan teruja akan rupa parasku. Selain itu, saizku yang kecil juga menarik minat mereka kerana mudah bagi mereka untuk membawaku ke mana-mana. Kawan-kawanku sering iri hati terhadap aku. Walau bagaimanapun, orang ramai yang tertarik dengan kelebihanku tidak mampu untuk membeliku kerana aku dijual dengan harga yang mahal, iaitu RM1,325.
 
 Sudah seminggu aku berada di dalam rak kaca ini. Suatu hari, kedai ini di datangi oleh seorang lelaki muda. Lelaki muda ini pernah mengunjungi kedai ini pada bulan lepas untuk membaiki telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya rosak gara-gara terjatuh dari tempat yang tinggi. Melihatkan kondisi telefon bimbit itu, aku dapat menyimpulkan bahawa telefon bimbitnya sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Tauke menyarankan supaya lelaki muda tersebut membeli telefon bimbit yang baru. Lelaki muda itu semakin menghampiri aku. Daripada pandangan matanya itu aku pasti dia berminat denganku. Betul sangkaanku. Setibanya di rak kaca, lelaki muda itu terus mendapatkan aku tanpa menoleh kepada rakan-rakanku yang lain. Bertubi-tubi dan bermacam-macam soalan ditanyakan kepada jurujual sambil membelek-belek tubuhku. “Tak boleh kurangkan lagi ke?”, tanya lelaki muda tersebut dengan penuh harapan. Aku sudah menjangka. Pasti disebabkan hargaku yang mahal ini menjadi penghalang. “Sebab lu selalu beli balang dekat kedai wa, wa kasi lu kulang la”, kata tauke itu dalam pelat Cinanya. Lelaki muda itu mengeluarkan sesuatu dari poketnya. Dia menghulurkan sekeping kad kepada tauke kedai. Setelah begitu lama bersoal jawab, akhirnya dia membeliku walaupun hargaku agak mahal baginya.

  Sejak hari itu,  aku mula berkhidmat untuknya.  Ternyata dia seorang tuan yang baik.  Dia begitu menyayangi diriku bagai menatang minyak yang penuh. Rupa-rupanya dia gemar merakamkan imej-imej yang menarik seperti pemandangan yang indah. Adakalanya aku di bawa ke majlis-majlis yang istemewa dan aku akan merakamkan semua kenangan manis itu dalam memoriku. Semua rakan-rakannya memujiku disebabkan aku multifungsi. Banyak perkara menarik disimpan dalam tubuhku.  Adakalanya imej yang dirakamkan dialihkan ke dalam komputer atau disimpan dalam bentuk cakera padat.  Kuranglah sedikit bebanan memori yang ku tampung.  Oleh itu, aku akan dapat merakamkan lebih banyak lagi imej dan video pada lain kali.

  Pernah juga diriku ditimpa kecelakaan. Kesan calar juga semakin banyak di badanku. Namun begitu, aku masih lagi kuat dan masih mampu menemani tuanku. Jika aku tidak bertugas, tuanku akan menyimpanku di dalam beg khas dan dapatlah aku berehat dengan aman. Tuanku tidak akan sesekali membiarkan tubuhku kotor. Dia akan mencuciku dua minggu sekali. Aku dapat merasai kasih sayang tuanku pada setiap belaiannya. Sesungguhnya, aku sangat bersyukur kerana mempunyai tuan sepertinya yang tahu menghargai diriku. Selagi khidmatku diperlukan, pada bila-bila masa dan di mana jua, selagi itulah aku akan berbakti kepada tuanku.  


Terima kasih kerana membaca! :)

No comments:

Post a Comment